TANGKAK, 23 Jun -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor mendapati ‘culas’ mengimbas kod QR MySejahtera adalah kesalahan paling kerap dilakukan oleh pekerja apabila mereka menggunakan perkidmatan bas atau van, semasa berulang-alik ke tempat kerja.
Pengarahnya Azmil Zainal Abidin berkata melalui operasi bersepadu yang dilakukan di daerah Johor Bahru dan Tangkak pada 21 dan 22 Jun, didapati hampir separuh daripada notis dan kompaun adalah atas kesalahan kegagalan pekerja mengimbas kod itu.
Daripada 30 notis dan kompaun yang dikeluarkan, 12 adalah kegagalan pekerja yang menaiki bas dan van mengimbas kod QR terbabit dan masing-masing dikompaun hingga RM10,000, katanya.
“Melalui operasi ini, pihak JPJ telah memeriksa 21 buah bas dan tujuh van, yang mana antara yang diperiksa ialah pematuhan terhadap pemakaian pelitup muka pemandu dan pekerja, penggunaan aplikasi MySejahtera, penyediaan cecair pembasmi kuman serta jumlah penumpang yang dibawa.
“Daripada jumlah notis yang telah dikeluarkan, 22 notis di Johor Bahru dan lapan notis lagi dikeluarkan di Tangkak,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPJ Cawangan Muar, dekat sini, malam tadi.
Dua daerah itu mencatatkan bilangan kluster tempat kerja tertinggi di Johor, katanya, menambah nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan ialah sebanyak RM244,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial