PUTRAJAYA, 22 Jun -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga dan premis setelah meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pendaftaran dalam Sistem Pengurusan Pintar COVID19 (CIMS) 3.0.
"Tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP MKN dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0," jelas KPDNHEP mengulas isu berkenaan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa kementerian itu terhadap peniaga dan premis.
KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan diambil adalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) berdasarkan pengumuman kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun ini.
“Peniaga dinasihatkan supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Ini termasuklah menyediakan dokumen-dokumen yang sah ketika pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP,” menurut kenyataan itu.
KPDNHEP menyarankan peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan untuk pertimbangan selanjutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial