KUALA LUMPUR, 22 Jun – Industri pembuatan Malaysia berpeluang mendapat manfaat yang besar daripada penggunaan robotik kerana prosesnya melibatkan kerja berulang dalam ruang terbatas dan berstruktur iaitu persekitaran yang sesuai untuk robot, kata Universal Robots.
Peneraju pasaran teknologi robot kolaboratif (cobots) yang berpangkalan di Denmark telah menasihatkan pemimpin industri pembuatan Malaysia untuk menerapkan cobots sebagai penyelesaian yang berkesan untuk mengatasi kekurangan kemahiran dan tenaga kerja, serta mencapai produktiviti yang lebih tinggi.
Dengan tempoh purata pembayaran balik sesingkat 12 bulan hasil daripada peningkatan produktiviti, kualiti dan konsistensi, pengeluar Malaysia dapat meramalkan pulangan pelaburan sebelum akhir tahun atau seawal 2022.
"Sektor pembuatan menyumbang 23.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia, kedua setelah sektor perkhidmatan (57.8 peratus) pada suku keempat 2020," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu menambah cobots boleh bekerja sepanjang masa dan menghasilkan kerja yang konsisten dalam keadaan kerja keras tanpa rehat.
Untuk setiap 10,000 pekerja, Malaysia hanya mempunyai 34 robot pembuatan industri, iaitu lebih rendah daripada purata serantau dengan Singapura dan Korea Selatan masing-masing mencatat 488 dan 631 robot untuk setiap 10,000 pekerja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial