JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga direman bantu siasatan rasuah penguat kuasa lindungi judi haram

22/06/2021 12:54 PM

TAWAU, 22 Jun  -- Tiga individu termasuk dua wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung isu rasuah penguat kuasa bagi melindungi kegiatan judi haram di sini.

Perintah reman bermula semalam hingga 27 Jun itu dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Semua suspek berumur antara 23 hingga 57 tahun itu ditahan 11 pagi semalam di sebuah premis di Bandar Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan seorang lelaki berumur 42 tahun dipercayai merasuah anggota penguat kuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan judi haram kumpulannya, dan turut ditahan dua suspek wanita masing-masing berumur 23 dan 57 tahun.

Penahanan itu dilakukan di sebuah premis di sini yang dipercayai menjalankan kegiatan judi haram sejak tahun lepas dan ketika serbuan, SPRM turut merampas wang tunai RM40,000 dan menyita empat akaun bank bernilai lebih RM300,000 disyaki hasil daripada kegiatan judi haram. 

Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy dilaporkan berkata beberapa tangkapan susulan berkaitan kes itu akan dilakukan tidak lama lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan