EKONOMI

Industri belum daftar PIKAS diminta segera berbuat demikian - Mohamed Azmin

21/06/2021 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru industri yang belum berdaftar dengan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.

Menteri Kanan merangkap menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kementerian itu telah memperkenalkan PIKAS khusus untuk pekerja-pekerja sektor pembuatan sejak 16 Jun lepas bagi mengelakkan jangkitan virus daripada terus meningkat dalam kalangan pekerja, terutamanya dalam subsektor pembuatan.

Di bawah PIKAS, Mohamed Azmin berkata MITI menyasarkan seramai dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

"Untuk merealisasikan perkara ini, ia juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS.

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti. Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, melihat kepada data-data KKM, beliau sedia maklum bahawa kluster baharu pada masa ini kebanyakannya adalah dari tempat kerja.

"Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Beliau berkata keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, kementerian tidak akan teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard yang telah ditetapkan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan