BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

HM4P serah sumbangan AS$200,000 baik pulih Masjid Al-Aqsa

21/06/2021 11:20 AM

PUTRAJAYA, 21 Jun -- Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) menyampaikan sumbangan sebanyak AS$200,000 (AS$1=RM4.11) untuk usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang mengalami kerosakan selepas serangan tentera Israel bulan lepas.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi HM4P itu menyerahkan sumbangan tersebut untuk Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan kepada Menterinya Dr Mohammad Al-Khalaileh pada Ahad di Jordan.

"Penyerahan dana ini bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, itu keutamaan kita," katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan bertanggungjawab mentadbir Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Masjid Al-Aqsa mengalami kerosakan terutama di bahagian pintu, tingkap, sistem siaraya dan klinik di dalam perkarangan masjid ekoran insiden serangan pihak berkuasa Israel bulan lalu.

Abdul Azeez berkata sumbangan itu adalah untuk membaik pulih, menambah baik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

Misi HM4P selama dua minggu yang bermula 19 Jun bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa, Tebing Barat dan warga Palestin yang terjejas di Gaza.

Misi HM4P akan bergerak ke Kaherah pada Selasa untuk meneruskan misi bantuan ke wilayah Gaza.

Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Jilid Kuminding yang turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan daripada HM4P itu berkata kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Menurut Jilid, Jordan memperuntukkan US$18 juta setiap tahun untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa termasuk membayar gaji pekerja melibatkan lebih 300 petugas yang menjaga keselamatan masjid itu daripada diceroboh sewenang-wenangnya oleh Zionis.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Dilaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan