SUKAN

Kisona tekad baiki persembahan

20/06/2021 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun -- Pemain badminton perseorangan wanita negara S.Kisona masih belum puas hati dengan persembahannya walaupun berjaya merangkul gelaran juara pertandingan badminton Spanish International 2021 di La Nucia semalam.

Pemain berumur 22 tahun itu sebaliknya telah mengenal pasti beberapa kelemahannya yang perlu diperbaiki, sebaik sahaja beliau muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, juara remaja dunia dua dua kali Goh Jin Wei dengan ‘straight set’ 21-14, 21-19.

“Saya telah mengenal pasti kelemahan dalam perlawanan akhir, saya akan berbincang dengan jurulatih Indra Widjaja dan Loh Wei Sheng bagaimana cara untuk tingkatkan prestasi di masa akan datang,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Kisona turut mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada Indra dan Loh yang menurutnya sentiasa sabar dan meletakkan harapan tinggi terhadapnya, dan beliau bertekad untuk mempamerkan aksi yang lebih mantap di masa hadapan.

Kemenangan di Sepanyol adalah yang kejayaan kedua Kisona menewaskan Jin Wei, selepas melakukan kali pertama dalam Thailand Masters 2018.

Pencapaian terbaik Kisona sebelum Spanish International ini kejayaan beliau meraih pingat emas di Sukan SEA 2019 dalam acara perseorangan wanita.

Selain Kisona, turut meraikan kemenangan di Spanish International adalah Tee Kai Wun yang muncul juara dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki.

Kai Wun meraih kemenangan pertama apabila beliau bersama pasangannya Teoh Mei Xing menumpaskan beregu campuran pilihan ketiga dari England Callum Hemming-Jessica Pugh dengan kemenangan 21-15, 13-21, dan 21-19.

Kai Wun kemudiannya meneruskan aksi cemerlang apabila bersama berpasangan dengan Man Wei Chong mengungguli acara beregu lelaki dengan menewaskan pasangan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan 21-15, 21-18.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan