AM

Piza Kayu Api Ipoh cetus kelainan, kekalkan keunikan klasik

20/06/2021 07:23 PM

IPOH, 20 Jun -- Kepesatan dunia tanpa sempadan dan perubahan teknologi yang semakin moden, bukan satu penghalang untuk seorang usahawan menjalankan perniagaan piza menggunakan kayu api, demi mencari kelainan dan kelangsungan hidup.

Pengembara tegar Abdul Rahim Abdul Razak, memilih teknik menggunakan kayu api dalam perniagaan piza yang baru diceburinya bersama dua sahabat baiknya sejak Mac lalu, bagi menonjolkan keunikan rasa yang berbeza daripada piza yang berada di pasaran.

“Istimewanya menggunakan kayu api ini adalah aromanya yang tersendiri dan kami cuba menghidupkan konsep klasik seperti zaman dahulu menggunakan kayu api untuk memasak. Oleh sebab itu kami memilih untuk menggunakan kayu api berbanding arang atau mesin ketuhar.

“Piza yang dihasilkan di sini adalah olahan resepi tersendiri hasil pengalaman saya yang banyak mengembara ke negara luar, selain menggunakan teknik pembuatan di Youtube.

“Apabila pulang ke Malaysia saya cuba mengusahakan perniagaan piza dan mengekalkan cita rasa tempatan, kerana saya berpuas hati apabila melihat orang menikmati makanan,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Pengkalan Pegoh, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar raya baru-baru ini.

Abdul Rahim turut berkongsi ketuhar bata yang digunakannya juga, merupakan hasil kajian dan rujukan di Internet, dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti struktur binaan, suhu, susunan kayu api untuk membakar piza dengan masa yang minimum, selain dihidangkan dengan penuh kerangupan.

Anak jati Cameron Highland itu berkata, beliau mengupah orang untuk menghasilkan ketuhar bata tersebut, selain acap kali membuat kajian suhu untuk membakar adunan tepung di dalamnya, bagi mendapatkan rasa piza yang enak dan lebih tahan lama, walaupun ia sudah sejuk.

“Saya dan rakan sekerja sentiasa melakukan kajian ke atas adunan doh tepung dan bermain dengan suhu api. Kami bertiga pernah cuba menggunakan suhu setinggi 700 darjah celcius, namun tekstur rotinya berbeza dan sedikit hitam ditepi, walaupun ia cepat masak kira-kira dua minit sahaja.

“Setelah mendapat respon daripada pembeli, kami menggunakan suhu 400 darjah celcius yang mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk pizza siap dibakar, kerana rasanya lebih lembut,” katanya yang turut mempunyai perancangan untuk menambah lagi satu dapur bata di kedainya.

Walaupun kedai Ipoh Pizza Kayu Api itu hanya menerima tempahan pembeli secara bungkusan sahaja ketika ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun ia tidak mematahkan empat orang pekerjanya untuk menyiapkan tempahan piza, yang kadang kala boleh mencecah 60 biji sehari.

“Ketika tempoh PKP ini sedikit terjejas, kerana terdapat kawasan di Ipoh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selain tidak boleh rentas daerah. Berniaga pun kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, termasuk masa yang terhad untuk menjalankan perniagaan.

“Saya baru sahaja mulakan perniagaan, namun saya jadikan penularan wabak COVID-19 sebagai satu cabaran untuk mengukuhkan jenama sendiri. Apabila tamat PKP ini saya ada rancangan untuk besarkan lagi perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan