EKONOMI

Micron Malaysia yakin dengan prospek masa depan, didorong oleh pertumbuhan ekonomi digital

20/06/2021 02:16 PM

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 20 Jun  --  Micron Malaysia yang telah membuat pelaburan berjumlah sehingga RM1.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, amat yakin dengan prospek masa depannya di negara ini, dirangsang oleh gelombang positif sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

Naib Presiden dan Pengurus Negara Amarjit Singh Sandhu berkata syarikat itu, sebuah entiti di bawah Micron Technology Inc yang tersenarai di Nasdaq, pertama kali mengumumkan rancangan pelaburannya di Pulau Pinang, khususnya di Batu Kawan pada tahun 2018 dengan merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Micron untuk pemasangan dan ujian pemacu keadaan pepejal (SSD).

"Terdapat banyak aspek berbeza dalam ekonomi digital serta ada pelbagai aplikasi - baik 5G, pertumbuhan pusat data, permainan, peranti untuk pembelajaran dalam talian, e-dagang dan sebagainya. Kami mengambil bahagian dalam semua sektor yang berbeza ini.

“Semikonduktor sangat penting dari segi keperluan ekonomi digital dan hala tuju dunia. Justeru, kami sangat yakin dari segi potensi dan peluang pertumbuhan kami, khususnya dalam pasaran ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai operasinya di Pulau Pinang, beliau berkata operasi berjalan lancar walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 dengan penyiapan bangunannya serta pengambilan lebih daripada 2,000 pekerja, malah turut berjaya membuat penghantaran produk kepada pengguna utama.

Amarjit berkata Micron Technology pada umumnya fokus untuk mengembangkan perniagaan memori dan penyimpanan manakala Micron Malaysia pula berada dalam kedudukan baik untuk berkembang dengan kehadiran keseluruhan syarikat yang berpangkalan di AS itu dalam ruang semikonduktor.

"Sudah tentulah kami mempunyai rancangan pengembangan di sini dan ianya sentiasa dikaji; tetapi pada ketika ini, kami sibuk mempersiapkan operasi dan sebaik sahaja rancangan itu telah pasti, kami akan mengumumkannya.

"Melangkah ke hadapan, kami amat yakin dengan prospek kami di sini. Apabila keadaan pandemik telah bertambah baik dalam beberapa bulan mendatang, itu akan membantu kami mempercepatkan pertumbuhan operasi di Pulau Pinang," jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan