SUKAN

Kecergasan pemain KUFC semakin meningkat - Jurulatih

19/06/2021 07:44 PM

KOTA BHARU, 19 Jun -- Pasukan Kelantan United (KUFC) boleh menarik nafas lega apabila tahap kecergasan pemain semakin meningkat selepas diberi kebenaran untuk menjalani latihan di padang sejak dua minggu lepas.

Jurulatih kecergasan KUFC Kamarul Dinis berkata sebelum ini pihaknya gusar dengan aspek kecergasan pemain susulan tidak menjalani latihan secara bersemuka dan hanya menjalani latihan sendiri di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara individu, tahap kecergasan dan fizikal kebanyakan pemain semakin meningkat apabila lebih dua minggu sesi latihan dijalankan.

“Tidak kira pemain muda atau senior, mereka jelas memanfaatkan waktu latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

KUFC dijadual menentang pasukan PDRM pada 3 Julai bagi memburu misi mengekalkan kedudukan lima pasukan terbaik dalam saingan Liga Premier musim ini.

Ketika ini KUFC berada di kedudukan kelima liga selepas 11 perlawanan dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Kamarul yakin kesemua pemain boleh mencapai tahap kecergasan 100 peratus dalam tempoh latihan yang tinggal hampir dua minggu sebelum saingan liga kembali bersambung.

"Setakat ini belum mencapai 100 peratus, namun ada beberapa pemain hampir mencapai tahap terbaik dan ada juga masih di bawah pencapaian tetapi kami boleh menarik nafas lega dengan perkembangan ini.

"Pemain memerlukan lebih waktu latihan dan barisan jurulatih merangka jadual latihan dengan melakukan latihan sesi pagi dan petang serta menumpukan kepada beberapa program intensif,” katanya sambil menambah bahawa lebih banyak program latihan akan terus dirangka sebagai persediaan pemain sebelum baki saingan liga bermula.

Beliau berkata aspek kecergasan pemain amat penting diberikan tumpuan kerana selepas ini mereka akan melalui jadual perlawanan yang padat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan