EKONOMI

CGC komited sedia jaminan hingga RM10 bilion sokong PMKS

19/06/2021 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jun  -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) komited menyediakan jaminan sehingga RM10 bilion bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19 untuk membantu mereka memulihkan semula perniagaan mereka sehingga Disember 2021.

CGC dalam satu kenyataan hari ini berkata komitmen itu diulangi kembali pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 syarikat yang diadakan secara maya pada Khamis untuk menyokong usaha pemulihan PMKS bersandarkan kepada keberanian, kekuatan dan kapasiti untuk bangkit semula. 

Menerusi inisiatif Beyond Guarantee, perbadanan itu juga terus memanfaatkan pendigitalan melalui imSME, platform rujukan pembiayaan dalam taliannya yang tersedia 24/7.

“Selain itu, menerusi inisiatif Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP@CGC), CGC juga menawarkan khidmat nasihat bagi PMKS yang permohonan pembiayaan mereka ditolak oleh bank, satu peluang untuk menambah baik kelayakan mereka,” katanya. 

Pengerusinya Datuk Mohammed Hussein berkata CGC optimis pelbagai pakej bantuan termasuk PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan akan membantu menyerap impak dan memberi kelegaan terutamanya kepada PMKS. 

“Dalam tempoh seperti sekarang, CGC akan terus memainkan peranan kitaran balas kami untuk menyokong kemampanan dan pemulihan PMKS,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata CGC mencatatkan prestasi kukuh meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar pada 2020, hasil daripada komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada PMKS menerusi produk dan perkhidmatan inovatif bagi menampung keperluan mereka pada pelbagai peringkat pembangunan. 

“Pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang disebabkan olehnya telah menyebabkan keuntungan bersih perbadanan berkurangan sebanyak RM106.8 juta (49.6 peratus) daripada RM215.3 juta pada 2019 kepada RM108.5 juta pada 2020,” katanya.

Beliau berkata CGC juga berjaya menyelesaikan Pelan Strategik 5 tahunnya (5SP) 2016-2020 dan ketika ini memasuki tahun pertama daripada pelan 5SP 2021-2025, yang bertujuan untuk mengukuhkan inisiatif transformasinya dan berhasrat menjadi “Rakan bagi Pertumbuhan PMKS di seluruh Peringkat Hayat”. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan