AM

Hanya 30-40 peratus bekalan sayur Cameron Highlands dari ladang di Kampung Raja

18/06/2021 05:52 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun -- Hanya 30 hingga 40 peratus bekalan sayur Cameron Highlands datang dari ladang di Kampung Raja dan ia tidak menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran keseluruhannya, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyebut pihaknya dimaklumkan semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands beroperasi seperti biasa.

Pada 12 Jun lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kampung Raja dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 14 hingga 27 Jun ini.

KPDNHEP memaklumkan sesi libat urus bersama beberapa pihak diadakan bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas ekoran PKDP di Kampung Raja itu.

Antara yang terlibat ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, wakil pemborong, Majlis Keselamatan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

“Hasil daripada sesi libat urus tersebut, polis telah memaklumkan pergerakan lori-lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands adalah dibenarkan. Pada masa sama, ladang sayur di kawasan Lojing dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran,” katanya.

KPDNHEP berkata kerajaan akan mengambil langkah segera untuk memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian dari Cameron Highlands berjalan seperti biasa termasuk mengusulkan suntikan vaksin kepada peladang dan pekerja dilaksanakan secepat mungkin.

KPDNHEP berkata penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara terus menjalankan pemantauan ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran.

Mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sayur adalah stabil dan mencukupi," kata KPDNHEP.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan