AM

Wanita hamil koma dipukul suami kini di bawah jagaan keluarga

18/06/2021 03:32 AM

SEREMBAN, 17 Jun  -- Wanita hamil 12 minggu yang koma akibat dipukul suami kini dijaga oleh adiknya Fazariah Nordin yang berasal dari Bandar Sri Sendayan dekat sini.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memaklumkan Jahidah Nordin, 43, kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban atas permintaan keluarga selain mendapat nasihat daripada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

"Fazariah ketika ditemui tengah hari tadi memaklumkan Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSA namun dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak HSA,” menurut MAINS dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Kenyataan itu menyebut MAINS, melalui Unit Khidmat Kesihatan, memaklumkan agensi itu telah menghulurkan bantuan wang tunai sebagai permulaan dan mengambil beberapa maklumat lain bagi bantuan seterusnya.

Pada 17 Mei lepas, media melaporkan Jahidah, yang merupakan seorang penjawat awam dan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dikejarkan ke HSA selepas dipercayai dicederakan suaminya. 

Mangsa mengalami kecederaan parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak. 

Bagaimanapun, suami mangsa iaitu Rosmaini Abd Raof, 38, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, mengaku tidak bersalah mencederakan isteri ketiganya itu sehingga parah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan