KUALA LUMPUR, 17 Jun -- Syarikat insurans am, Tune Protect Group Bhd akan memberi tumpuan kepada perniagaan kesihatan, gaya hidup serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas melihat peluang pertumbuhan ASEAN yang besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rohit Nambiar dalam satu kenyataan berkata syarikat itu merancang untuk mencapai golongan milenium, Generasi Z dan perniagaan kecil selepas kadar penembusan insurans am yang rendah iaitu 1.13 peratus ke atas mereka, disamping penggunaan internet hampir 70 peratus daripada penduduk ASEAN.
"ASEAN membentangkan peluang pertumbuhan besar-besaran kepada kumpulan untuk memajukan cadangan kesihatan, gaya hidup dan PKS kepada pengguna atau melalui perkongsian digital perniagaan ke perniagaan (B2B) di seluruh industri seperti syarikat penerbangan, e-dagang, logistik, penyedia penjagaan kesihatan dan e-dompet, antaranya," kata beliau.
Tune Protect yang memperakui peluang pertumbuhan ini, telah memperkenalkan beberapa inovasi kesihatan di Malaysia serta Thailand pada suku pertama 2021.
Antaranya Health2GO, yang merupakan perkhidmatan perundingan perubatan untuk pelanggan melalui panggilan telefon, video atau teks.
"Kami gembira dapat menghubungkan pelanggan kami dengan doktor atau pakar pemakanan pilihan mereka daripada keselesaan dan keselamatan rumah mereka melalui Health2GO.
"Kami akan menyusun lagi penawaran teknologi kesihatan kami kepada teleperubatan seterusnya," katanya.
Di samping itu, syarikat tersebut turut menawarkan Vsafe dan VSURE Protect, pelan insurans vaksinasi COVID-19 yang inovatif di Thailand.
Pelan ini meliputi perbelanjaan perubatan pesakit (kemasukan ke hospital tanpa tunai) dan manfaat pendapatan harian selepas dimasukkan ke hospital harian susulan kesan sampingan vaksinasi.
Tune Protect menjangkakan pelan itu akan disediakan kepada pengguna Malaysia tidak lama lagi.
Bagi segmen gaya hidupnya, pembeli dalam talian ditawarkan kemudahan pembelian insurans konsainan melalui aplikasi mudah alih BOXKU.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menawarkan insurans transit bagi melindungi kerugian atau kerosakan pada pakej barangan yang ditawarkan melalui platform digital Shopee.
Bersama-sama dengan Redbeat Academy, Tune Protect bercadang untuk meningkatkan serta melengkapkan pelanggan PKS syarikat itu melalui satu program yang khusus, yang dipanggil BINA Digital.
Program ini bertujuan untuk membimbing PKS dalam membina pelan perniagaan yang progresif sambil meneliti alat produktiviti dalam talian bagi membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.
"Kumpulan juga sedang berusaha menarik pelanggan PKS daripada industri makanan dan minuman serta industri produk pengguna runcit lain untuk menyertai ‘AirAsia Super App’ sebagai peniaga.
"Ini akan membolehkan mereka mengembangkan perniagaan dengan meluaskan saluran pengedaran untuk mendapatkan pelanggan," kata syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial