AM

Penjenayah putih mata, gagal buka dan larikan peti besi milik Pejabat Pos

17/06/2021 07:59 PM

IPOH, 17 Jun -- Penjenayah berputih mata apabila cubaan membuka dan melarikan peti besi selepas memecah masuk ke Pejabat Pos Kampung Kepayang di Taman Chandan Desa, Simpang Pulai di sini gagal dalam satu kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian itu disedari pengurus cawangan pejabat pos berkenaan, iaitu seorang wanita berusia 35 tahun semasa mahu memulakan tugas pada 8 pagi tadi yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.

"Pengadu mendapati pintu hadapan iaitu pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung (roller shutter) diumpil dan terbuka serta keadaan di dalam pejabat pos itu berselerak. Peti besi di dalam pejabat pos, telah berada di luar pejabat iaitu di atas jalan serta terdapat kanvas berwarna biru menutupi pintu hadapan premis itu.

"Barang-barang yang hilang serta kerugian tidak dapat dikenal pasti lagi. Namun, dekoder kamera litar tertutup di premis itu mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau percaya peti besi itu ditinggalkan selepas penjenayah, dipercayai lebih dari seorang itu, gagal untuk membukanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pintu kaca dan pintu penutup gendela gulung separuh terbuka serta kali terakhir premis itu ditinggalkan dalam keadaan baik semalam.

Yahaya berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan