KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Ericsson menjangkakan langganan mudah alih 5G akan melebihi 580 juta di peringkat global menjelang akhir 2021, dipacu oleh anggaran satu juta langganan mudah alih 5G baharu setiap hari.
Unjuran itu, yang terkandung dalam ‘Ericsson Mobility Report’ edisi ke-20, meningkatkan jangkaan yang 5G menjadi generasi mudah alih diterima guna terpantas, menurut syarikat telekomunikasi Sweden itu dalam kenyataan pada Rabu.
Kira-kira 3.5 bilion langganan 5G dan 60 peratus liputan rangkaian 5G diunjurkan pada akhir 2026.
Menurut Ericsson, bagaimanapun kadar penerimagunaan itu amat berbeza mengikut negara.
Eropah yang bermula dengan perlahan kini diatasi oleh pasaran China, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dari segi kadar pelaksanaan 5G, jelasnya.
Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata 5G akan menjadi tulang belakang bagi inisiatif MyDIGITAL oleh Malaysia.
“Kesegeraan kerajaan untuk melancarkan rangkaian berkelajuan tinggi merupakan petunjuk kukuh bagi keperluan mendigitalkan ekonomi negara dan merealisasikan visi menjadi negara yang terhubung sepenuhnya.
“Penggunaan ditingkatkan akan membantu mempercepat pelaksanaan dan penerimagunaan 5G di negara ini. 5G digabungkan dengan Internet Pelbagai Benda (IoT) akan memacu inisiatif transformasi digital oleh kerajaan dan membantu transformasi ekonomi negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, 5G dijangka mencatatkan lebih satu bilion langganan iaitu dua tahun lebih cepat berbanding garis masa Evolusi Jangka Panjang 4G bagi pencapaian yang sama.
Faktor utama yang mendorong pencapaian itu termasuk komitmen China yang lebih awal terhadap 5G selain ketersediaan lebih awal dan peningkatan kemampuan peranti 5G komersial.
Lebih 300 model telefon pintar 5G telah diumumkan atau dilancarkan secara komersial.
Momentum 5G komersial ini dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang, dirangsangkan oleh peningkatan peranan kesambungan sebagai komponen utama pemulihan ekonomi pasca-COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial