SUKAN

Nazrin hasrat perbaharui rekod, tempah slot ke Sukan SEA

16/06/2021 05:33 PM

Oleh Siti Alya Nadiah Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Atlet kanu muda negara Mohamad Nazrin Najib menyasarkan untuk melakukan catatan masa 4 minit sekali gus memperbaharui rekod terbaiknya dalam acara pecut K1 1000 meter lelaki bagi mencerahkan peluang beraksi pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, akhir tahun ini.

Beliau yang mempunyai catatan terbaik 4 minit 16 saat dalam acara itu, berhasrat memperbaharui rekod tersebut pada kejohanan pemilihan ke Sukan SEA tersebut.

Mohamad Nazrin berkata meskipun tarikh penganjuran kejohanan pemilihan masih belum ditentukan susulan situasi tidak menentu akibat COVID-19, beliau telah mula membuat persiapan awal sebagai usaha untuk tampil lebih bersedia menjelang kejohanan tersebut.

"Catatan masa 4 minit itu sukar tetapi tidak mustahil jika saya berusaha bersungguh-sungguh. Berdasarkan latihan sekarang, terdapat beberapa kekangan sebab kelengkapan latihan tidak cukup, peralatan tidak cukup malah tasik untuk venue latihan juga tidak dapat digunakan pada masa ini.

"Bila berlatih di air, baru kita dapat buat seperti dalam pertandingan sementara latihan di darat lebih kepada kemahiran teknik," katanya kepada Bernama, hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi cabaran besar dalam kariernya sekali gus terpaksa menjalani latihan secara dalam talian di bawah pemantauan jurulatih Saufee Miftah. 

“Jadi, sesi latihan dalam talian kami buat latihan tambahan bagi mengekalkan kecergasan dan membuat kayuhan di darat saja untuk fokus kepada teknik," katanya.

Sementara itu, Nazrin yang merupakan penuntut jurusan pengajian sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam turut berhasrat menguji prestasinya dalam acara berbeza di tiga kejohanan dunia yang akan berlangsung di Eropah, pada September depan.

Kejohanan itu ialah Piala Dunia Ketiga Kanu Slalom International Canoe Federation (ICF) 2021 di La Seu, Sepanyol (3-5 Sept); Piala Dunia Akhir Kanu Slalom ICF 2021 di Pau, Perancis (10-12 Sept); dan Kejohanan Dunia Kanu Slalom & Kanu Arus Deras ICF 2021 di Bratislava, Slovakia (21-26 Sept).

Nazrin sebelum ini meraih tempat kedua pada kejohanan Piala Asia Kanu Polo 2019 di Deqing, China dan tempat ketiga di Kejuaraan Asia Kanu Polo 2017 di Batu Pahat, Johor. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan