AM

Malam Wartawan Malaysia 2021 ditangguhkan

16/06/2021 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun  -- Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang dijadualkan berlangsung pada 20 Ogos ini terpaksa ditangguhkan susulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana semasa fasa kedua pelan tersebut selama dua bulan pada Julai dan Ogos 2021, kerajaan masih menutup sektor sosial yang melarang penganjuran pelbagai kegiatan sosial membabitkan kehadiran ramai seperti MWM 2021.

Beliau berkata majlis penyerahan cek dalam kalangan penaja dan penyumbang MWM 2021 yang dijadual pada 8 Julai ini turut ditunda kepada satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

“Keputusan penangguhan kedua-dua majlis ini dibuat setelah berbincang dengan Ahli Majlis Pentadbir MPI.

“Tarikh-Tarikh baharu bagi penganjuran majlis penyerahan cek para penyumbang MWM 2021 dan MWM akan diputuskan dalam waktu terdekat setelah Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan butiran terperinci mengenai penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang dibenarkan selepas fasa kedua Pelan Pemulihan Negara yang berakhir pada Ogos 2021,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chamil berkata MPI akur dengan keputusan kerajaan demi memastikan jangkitan wabak COVID-19 yang masih mengganas dapat dikawal dan rantaiannya berupaya diputuskan.

“Kami berharap MWM 2021 bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 (HKM 2020) tajaan Petronas akan dapat diadakan pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara selepas bulan September 2021 apabila kerajaan dijangka mula membenarkan penganjuran sosial,” katanya.

Beliau percaya majlis itu akan dapat diadakan sebelum tahun ini berakhir kerana berdasarkan unjuran kerajaan sendiri, jangkitan wabak COVID-19 akan berupaya dikawal secara berperingkat-peringkat mengikut pelan ini.

“Saya tahu mereka yang menyertai HKM 2020 tidak sabar untuk mengetahui keputusannya dan untuk tahu siapakah antara mereka yang akan membolot hadiah RM300,000 yang ditaja oleh Petronas. Saya minta mereka bertenang kerana majlis itu insya-Allah, akan dapat diadakan tahun ini,” katanya.

Chamil turut meminta syarikat korporat yang telah menghulurkan sumbangan dan tajaan bagi menjayakan MWM 2021 agar bersabar kerana komitmen MPI untuk menjayakan MWM sejak ia pertama kali diadakan pada 1981 kekal membara.

“MPI menghargai sumbangan yang telah dihulurkan oleh badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan dalam penganjuran MWM 2021.

“MPI juga berterima kasih kepada Petronas atas persetujuannya untuk menaja HKM pada kuantum RM300,000 untuk HKM tiga tahun akan datang,” katanya.

Mengenai program latihan MPI yang dirancang pada Jun dan Julai 2021, Chamil memaklumkan kursus yang dijadualkan tetap akan diadakan kerana ia akan dilangsungkan secara dalam talian sepenuhnya.

Beliau berkata tarikh baharu kursus MPI seperti yang diumumkan sebelum ini adalah kekal seperti Kursus Media & Undang-Undang pada  23 hingga 24 Jun, Kursus Perhubungan Awam Digital pada 12 hingga 13 Julai, Bengkel Penulisan Media Berkesan pada 22 hingga 23 Julai dan Kursus Media Digital Kreatif (Pemasaran) pada 26 hingga 27 Julai.

“Keempat-empat kursus tersebut dan kursus-kursus latihan yang dirancang pada bulan Ogos dan September akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya secara Google Meet.

“Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus tersebut boleh mengajukan pertanyaan lanjut kepada unit Latihan MPI menerusi e-mel di trainingmpi2945@gmail.com,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan