EKONOMI

GSA peroleh operasi MRO RUAG International di Malaysia 

15/06/2021 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Global Systemes Asia Sdn Bhd (GSA) hari ini mengumumkan telah memperoleh operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebuah kumpulan teknologi dari Switzerland, RUAG International di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, GSA berkata langkah itu akan meningkatkan lagi keupayaan MRO helikopter dan pesawat GSA dengan ketara serta memberi sokongan kepada operasi Global Turbines Asia Sdn Bhd (GTA). 

“Sinergi antara GSA-GTA dan RUAG kini menawarkan portfolio perkhidmatan yang dipertingkatkan dari segi penambahan komponen pesawat, pemula generator dan sistem elektrik dalam penawaran servis MRO GTA. 

“Ini menjadikan GSA syarikat Malaysia pertama yang mempunyai portfolio ekosistem MRO yang lengkap merangkumi tentera (GTA) dan civil (RUAG International),” katanya. 

Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata pendekatan ini akan menghasilkan peluang kerjaya baharu dalam usaha transformasi industri aeroangkasa negara. 

“Penubuhan perniagaan kolektif GTA-GSA juga akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk orang ramai serta dapat memberi manfaat yang besar kepada kumpulan syarikat, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Penyelaras Kebangsaan Industri Aeroangkasa (NAICO), Prof Shamsul Kamar Abu Samah berkata pengambilalihan daripada GSA akan mempertingkat dan menentukan hala tuju jejak global serta rantau Malaysia untuk komponen segmen MRO. 

“Selain mengembangkan lagi portfolio aeroangkasa semasa, GSA akan menjadi salah satu pemangkin utama dalam menarik rakan niaga berkualiti untuk mempertimbangkan Subang sebagai lokasi pilihan mereka di Asia Tenggara, sekali gus akan mengukuhkan lagi ekosistem MRO di Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan