AM

PKRC Olive B Hospital Permai khusus untuk wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak

14/06/2021 11:25 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jun  -- Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Olive B Hospital Permai menjadi PKRC pertama di negara ini yang khusus menempatkan  golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh berkata pusat itu, yang mula beroperasi semalam, dijangka mampu menempatkan sehingga 585 pesakit tahap 1 dan 2.

Beliau berkata setakat 2 petang tadi, seramai lapan pesakit ditempatkan di pusat itu.

"Blok Olive B dipilih berdasarkan situasi yang berlaku sebelum ini sebagai langkah awal dan proaktif sekiranya peningkatan berterusan dan sebagai tambahan kepada PKRC Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang telah mencapai tahap penggunaan katil melebihi 90 peratus pada 25 Mei lepas.

"(Bagaimanapun) maklumat yang saya dapat dari PKRC Stadium MPPG, pesakit wanita yang masih dikuarantin akan terus dikuarantin di sana sampai tarikh discaj dengan pusat di sini disediakan untuk pesakit baharu," katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC Olive B Hospital Permai hari ini.

Abdul Rahman berkata bangunan lima tingkat itu memiliki 40 bilik yang dilengkapi unit bagi menjalankan kegiatan riadah dan rekreasi, tempat menyusu, tempat rehat, ruang solat dan dewan di aras bawah yang mampu memuatkan 60 pesakit.

Pegawai Daerah Johor Bahru itu berkata antara kelebihan PKRC Olive B Hospital Permai ialah pusat itu mampu beroperasi dalam tempoh yang lebih lama berbanding institut latihan lain sekali gus mengurangkan kapasiti penggunaan PKRC Stadium Tertutup MPPG.

Beliau juga berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi meninjau lokasi lain untuk dijadikan PKRC awam ketiga di Johor Bahru jika trend jangkitan harian di negeri itu terus meningkat. 

"Setakat ini di Johor, kita ada dua PKRC awam membabitkan PKRC Pasir Gudang yang dikendalikan Kementerian Kesihatan dan PKRC DB di Iskandar Puteri yang dikendalikan pihak swasta. 

"Keadaan sekarang stabil namun kita perlu bersiap siaga mencari lokasi PKRC awam baharu di Johor jika peningkatan kes jangkitan terus meningkat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan