JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu lori maut dipercayai ditikam rakan ketika mabuk

14/06/2021 10:49 PM

NIBONG TEBAL, 14 Jun -- Seorang pemandu lori maut selepas dipercayai ditikam oleh rakannya ketika mereka mabuk dalam kejadian di Rumah Pangsa Taman Desa Jawi di sini pada awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Lee Chong Chern berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.05 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan jirannya dipukul suami.

"Sepasukan polis yang sampai ke rumah di tingkat dua itu mendapati seorang lelaki dikenali sebagai A.Harinnderaruban, 35, telah ditikam dan disahkan meninggal dunia pada 7.15 pagi hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal menunjukkan terdapat tujuh kesan tikaman pada badan mangsa dan polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek, 27, yang juga pemilik rumah di mana insiden itu berlaku.

Lee berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku pada 3.45 pagi apabila mangsa dan suspek minum arak di luar rumah sehingga mabuk sebelum mereka membuat bising di dalam rumah suspek.

"Isteri suspek ketika itu cuba menegur suaminya supaya tidak bising namun suspek yang berang telah bertindak memarahi dan memukul wanita itu. Dipercayai mangsa cuba meleraikan keadaan ketika suspek memukul isterinya sebelum suspek bertindak menikam belakang mangsa menggunakan pisau," katanya.

Beliau berkata polis telah menahan suspek yang bekerja sebagai pengutip buah kelapa sawit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan