SUKAN

COVID: 53 petugas media Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo telah divaksin

14/06/2021 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun  -- Seramai 53 ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang akan membuat liputan pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, manakala sorang lagi akan divaksin esok.

Presidennya Norismadi Abd Manap berkata, kesemua 53 pengamal media berkenaan telah menerima suntikan jenis Pfizer BioNTech di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini.

Norismadi merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terutama menterinya Khairy Jamaluddin, yang telah memberi kerjasama terhadap permohonan SAM bagi membolehkan ahli-ahlinya menerima suntikan lebih awal, sebelum mereka memulakan tugas di Tokyo nanti.

“Bagi pihak Exco SAM, saya mengucapkan terima kasih kepada MOSTI, Khairy, Majlis Sukan Negara dan juga Majlis Olimpik Malaysia atas kerjasama yang telah mereka berikan, bagi merealisasikan proses suntikan vaksin kepada ahli-ahli SAM.

“Terima kasih juga kepada pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang turut memberi kerjasama bagi melancarkan proses vaksinasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sukan Olimpik dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik pula pada 24 Ogos hingga 5 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan