SUKAN

Pasukan petugas dibentuk selesai kemelut PSM -PJS

11/06/2021 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun  -- Pasukan petugas khas dibentuk oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS)  melibatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan wakil gabungan 11 ahli baharu sepak takraw negara atau 'G11' bagi menamatkan kemelut yang melanda badan induk itu.

Dalam kenyataan hari ini, PJS memaklumkan kesemua pihak akan bekerjasama dalam melakukan pembaharuan demi kepentingan serta kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw, seterusnya memastikan PSM diterima semula sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Kerjasama dan semangat berpasukan ini amat perlu bagi menyediakan asas tadbir urus badan sukan induk sepak takraw yang berintegriti, telus dan adil, seterusnya mengembalikan semula keyakinan penggiat sepak takraw dan rakyat terhadap sukan warisan ini," menurut kenyataan itu.

Menurut PJS, keputusan itu dicapai menerusi sesi perbincangan bersama PSM dan wakil G11 Rabu lepas yang diadakan secara dalam talian dan berlangsung dalam suasana yang amat harmoni.

Pada 20 Mei lepas, PSM telah disingkirkan ASTAF daripada ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb lepas.

Tindakan Ahmad itu mengundang padah apabila difahamkan telah melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008 dan menyebabkan 11 persatuan bertindak keluar daripada PSM akibat hilang kepercayaan kepada beliau.

PJS seterusnya menyatakan bahawa semua pihak bersepakat bahawa langkah penyelesaian hendaklah teratur mengikut proses-proses berdasarkan perundangan dan perlembagaan; iaitu Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], Perlembagaan PSM dan Perlembagaan ASTAF.

Pada masa sama, PSM dan G11 turut bersetuju dengan langkah remedi yang dirangka oleh PJS dan perlu dilaksanakan dengan segera dalam mencapai matlamat itu.

Sementara itu, PJS akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai perantara kepada PSM dan G11, bersedia memberikan khidmat nasihat dan panduan terutamanya dalam penambahbaikan perlembagaan, struktur jawatankuasa tertinggi serta sentiasa memantau kemajuan proses remedi bersama-sama pihak PSM dan G11.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan