EKONOMI

Subsidiari Minetech Resources terima LOA daripada Valsa Sarawak

11/06/2021 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun  -- Subsidiari 55 peratus milik Minetech Resources Bhd, Konsep Khas Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Valsa (Sarawak) Sdn Bhd membabitkan kerja-kerja subkontrak.

Kerja-kerja itu merangkumi pembekalan tenaga kerja, bahan serta jentera bagi mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji dan mentauliahkan struktur telekomunikasi di bawah projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) serta projek Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Sarawak.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata berikutan penerimaan LOA itu, pihaknya telah bersetuju untuk melaksanakan perjanjian subkontrak berkenaan berdasarkan terma LOA dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penerimaan.

Nilai kontrak dan tarikh permulaan kerja subkontrak akan diumumkan sejurus selepas perjanjian itu ditandatangani. 

Sementara itu, Minetech dalam satu makluman berasingan melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM916,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 berbanding kerugian bersih berjumlah RM20.44 juta.

Hasil meningkat 15.5 peratus kepada RM95.02 juta daripada RM82.24 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif, Pengiran Datuk Awang Daud Awang Putera berkata walaupun dunia hari ini terjebak dalam pandemik, perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard yang ketat, syarikat itu positif bahawa projek pembangunan infrastruktur akan terus maju memandangkan ianya adalah sebahagian daripada langkah pembangunan negara.

"Minetech yakin bahawa trend menaik akan berterusan tahun ini. Kami menjangkakan margin operasi kami akan bertambah baik pada tahun ini berdasarkan kepada kepelbagaian dalam teknologi dan inovasi termasuik penembusan ke dalam aktiviti pembinaan peringkat kedua," tambahnya lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan