KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia melonjak 66.2 peratus tahun ke tahun kepada RM111.1 bilion pada April 2021 daripada 36.6 peratus pada April 2020, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun kenaikan ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan, ia adalah kesan pemulihan daripada kejatuhan yang sangat besar pada April tahun lepas di mana Perintah Kawalan Pergerakan telah dikenakan untuk keseluruhan bulan.
“Sehubungan itu (prestasi April 2021) perlu ditafsir dengan berhati-hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemulihan daripada tahap sangat rendah pada April 2020, Mohd Uzir berkata, penyumbang terbesar bagi peningkatan itu adalah perdagangan runcit yang meningkat 56.4 peratus tahun ke tahun kepada RM44.3 bilion, diikuti perdagangan borong yang berkembang 40.5 peratus tahun ke tahun kepada RM53.0 bilion.
“Kenderaan bermotor turut menunjukkan trend menaik dengan peningkatan 1,551.3 peratus tahun ke tahun kepada RM13.8 bilion,” katanya
Mohd Uzir berkata, nilai jualan bulan ke bulan, menunjukkan penurunan 1.5 peratus pada April 2021.
Berbanding April 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda, Mohd Uzir berkata jualan perdagangan borong dan runcit turut menunjukkan pertumbuhan positif iaitu 5.4 peratus.
“Ini didorong oleh peningkatan perbelanjaan boleh guna rakyat berikutan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan peningkatan harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah,” katanya sambil memaklumkan insentif pengecualian cukai jualan kenderaan turut berperanan merangsang pembelian kenderaan bermotor.
Mohd Uzir berkata bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 71.5 peratus tahun ke tahun.
Beliau berkata pertumbuhan positif itu disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 1,687.4 peratus tahun ke tahun.
“Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong, masing-masing 63.5 peratus dan 43.0 peratus,” katanya.
Beliau berkata indeks volum pelarasan musim pula berkembang 5.1 peratus bulan ke bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial