KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Anggun Kirana Sdn Bhd, pengeluar pelitup muka hijab Himaya Premium menyumbang 10,000 keping pelitup muka itu kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.
Pengasas pelitup muka itu, Datuk KK Chua berkata sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dan bergadai nyawa dalam merawat pesakit COVID-19 sekali gus memerlukan perlindungan maksimum.
“Pelitup muka Himaya telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu perakuan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebagai pelitup muka perubatan, jadi petugas barisan hadapan boleh memakainya tanpa waswas.
Bukan itu sahaja, ia juga sangat selesa dan amat sesuai digunakan oleh petugas barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan risiko tinggi jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chua berkata pihaknya merancang untuk meneruskan sumbangan pelitup muka itu kepada beberapa hospital lain.
Sementara itu, pegawai perubatan PPUM Dr Ileena Abdul Muin berkata pihaknya berterima kasih atas sumbangan berkenaan kerana para petugas memerlukan pelitup muka yang banyak.
Seorang lagi pegawai perubatan, Dr Amir Arif Ahmanul berkata inisiatif Anggun Kirana Sdn Bhd itu membantu kelangsungan kerja-kerja klinikal di pusat perubatan itu yang memerlukan para petugas sentiasa memakai pelitup muka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial