DUNIA

Timbalan Perdana Menteri Thailand nafi khabar angin pembubaran Parlimen

11/06/2021 08:18 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 11 Jun  -- Timbalan Perdana Menteri Thailand Wissanu Krea-ngam menafikan khabar angin Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Wissanu berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang perbincangan mengenai rancangan untuk membubarkan Parlimen, lapor Bangkok Post.

Kerajaan pimpinan Prayuth pada Mac lalu genap dua tahun memerintah daripada tempoh penggal empat tahun. 

Khabar angin mengenai pembubaran Parlimen kian bertiup kencang selepas Prayuth pada Selasa memberitahu kabinet bahawa "kerajaannya hanya memiliki setahun lagi untuk memerintah" dan mereka harus menyegerakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Kenyataannya itu kemudian ditafsirkan sebagai kerajaan sedang membuat persediaan untuk membubarkan Parlimen.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan juga menolak spekulasi itu.

Namun, media tempatan melaporkan konflik dalam kerajaan gabungan antara parti yang berkuasa, Parti Palang Pracharath (PPRP) dan tiga rakan sekutu utama, Parti Demokrat, Bhumjaithai, dan Chat Thai Phatthana turut dijangka mendorong Parlimen dibubarkan lebih awal. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan