AM

Projek rintis PERHEBAT: Bakal pesara dipantau ceburi kemahiran pelbagai bidang

11/06/2021 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Seramai 100 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bakal bersara akan dipantau dalam projek perintis Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) khusus berkaitan kemahiran tertentu untuk diceburi golongan itu sebagai persiapan selepas tamat perkhidmatan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata projek tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan itu meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang yang akan diceburi dan mengelakkan mereka tergolong dalam kumpulan B40. 

“Pemantauan itu dilakukan oleh markas tentera darat yang sentiasa menekankan aspek (kemahiran) itu yang perlu dimiliki bukan sahaja semasa berkhidmat bahkan selepas mereka tamat perkhidmatan. 

“Justeru itu iltizam diletakkan supaya warga tentera darat mempunyai kemahiran tertentu sebagai persiapan mereka selepas bersara dan kami akan membimbing mereka untuk memilih mana-mana kursus serta latihan kemahiran mengikut kesesuaian,” katanya dalam perutusan khas sempena Setahun Pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-28 hari ini. 

Zamrose berkata perkara itu akan dipantau oleh beliau selain diselia oleh pegawai kanan tentera darat lain.

Mengulas pencapaian TDM, beliau berkata pihaknya akan memperluas Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat TDM ke seluruh negara. 

Zamrose juga berkata penularan COVID-19 semakin membimbangkan dan sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga TDM agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19. 

“TDM juga komited membantu kerajaan untuk terlibat dalam operasi ketenteraan selain peperangan yang sedang dihadapi khususnya dalam menangani wabak ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan