AM

Jumlah pelajar terima sijil SPM di Pulau Pinang meningkat

11/06/2021 06:53 PM

GEORGE TOWN, 11 Jun -- Jumlah pelajar yang layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Pulau Pinang meningkat 2.23 peratus kepada 86.74 peratus berbanding 84.51 peratus pada 2019, kata Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan walaupun pelajar berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penularan COVID-19.

"Secara keseluruhan, seramai 19,921 calon di Pulau Pinang mengambil SPM 2020 dan  indeks Gred Purata Nasional (GPN) Pulau Pinang pada 2020 juga meningkat 0.20 iaitu pada kadar 4.66 berbanding 4.86 pada 2019.

"Peningkatan kedua-dua ini (GPN dan calon layak menerima sijil) adalah selaras dan memenuhi indeks petunjuk prestasi utama (KPI) Pengarah dalam meletakkan sasaran semasa kami membuat persiapan SPM 2020, oleh itu saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua terutama pelajar, guru dan ibu bapa yang sentiasa komited bagi memastikan kejayaan ini," katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Abdul Rashid berkata bagi Gred Purata Sekolah (GPS), sebanyak 88 daripada 121 sekolah menunjukkan peningkatan GPS pada 2020 dan sebanyak 27 sekolah mencatatkan 100 peratus layak mendapat sijil peperiksaan berbanding 24 sekolah pada 2019.

Beliau berkata sebanyak 15 sekolah mencatatkan GPS terbaik dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jit Sin mencapai GPS (1.91), SMK Bukit Jambul (1.98) dan SMK Kepala Batas (2.05).

"Bagi calon berkeperluan khas di Pulau Pinang, seramai tujuh calon telah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam SPM 2020 dan tahniah diucapkan kepada mereka dan semua calon SPM yang telah berjaya," katanya.

Abdul Rashid berkata daripada 14 mata pelajaran utama dalam peperiksaan SPM 2020, hanya Bahasa Cina menunjukkan penurunan manakala Bahasa Melayu mencatatkan pencapaian terbaik yang menyaksikan 91.21 peratus calon lulus berbanding 90.69 pada 2019.

Beliau juga berkata pihaknya bersama-sama guru menggunakan semua sumber dan kaedah bagi memastikan calon SPM di negeri itu tidak ketinggalan terutama ketika PdPR berlangsgung berikutan terdapat kekangan sesi pembelajaran bersemuka susulan penularan COVID-19.

"Kalau tanya saya, memang semua usaha telah dilakukan oleh guru-guru dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi memastikan anak-anak dapat belajar malah kami turut mengambil inisiatif dengan memuat naik pembelajaran di laman YouTube supaya pelajar boleh membuat ulang kaji di situ," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan