ALOR SETAR, 11 Jun -- Nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM43 bilion di Kedah bagi suku pertama tahun ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan ketika suasana muram menyelubungi sektor ekonomi di seluruh dunia, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata meskipun dunia dibelenggu pandemik COVID-19 namun para pelabur masih menaruh keyakinan terhadap Kedah selain komitmen dan kesungguhan pegawai kerajaan di semua peringkat untuk memajukan negeri.
“Alhamdulillah, di Kedah kita mempunyai pasukan yang saling bekerjasama rapat daripada kalangan pegawai kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan juga amat membantu.
“Apa yang direkodkan bagi suku pertama 2021 adalah daripada pelaburan dalam beberapa projek pelaburan berimpak tinggi pada awal tahun ini. InsyaAllah, berdasarkan perancangan semasa, nilai ini boleh meningkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dalam kenyataan bersama menyatakan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama pada suku pertama tahun ini.
Ia merupakan lonjakan 95.6 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM41.2 bilion.
Kenyataan itu turut menyatakan sektor pembuatan adalah penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan sebanyak RM58.8 bilion membabitkan 246 projek pembuatan dan Kedah mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM42.4 bilion, diikuti Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial