KULAI, 11 Jun -- Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Inas dekat sini, yang bermula hari ini sehingga 24 Jun depan, melibatkan seramai 1,668 individu daripada 302 rumah.
Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani berkata mereka yang berada dalam kawasan PKPD itu terdiri daripada peneroka dan pekerja Felda.
Katanya sehingga 9 Jun lepas, seramai 913 individu di dalam kawasan itu telah disaring dan 57 daripadanya didapati positif COVID-19, manakala 779 negatif dan 77 masih menunggu keputusan.
“Justeru, saringan dan pengesanan kontak bagi Kluster Jalan Cendana (Felda Inas) masih giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai menjelaskan, pengurusan di dalam kawasan PKPD itu diambil alih pihaknya dan bilik gerakan telah diaktifkan sejak semalam (10 Jun).
“Sebarang sumbangan untuk penduduk dalam kawasan PKPD Felda Inas perlulah melalui bilik gerakan bagi tujuan penyelarasan. Kemudian, ia akan diagihkan oleh Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Southern Volunteers,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia pula akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Felda Inas hari ini mendapati laluan utama bagi memasuki kawasan itu telah diletakkan sekatan oleh pihak polis bagi memantau pergerakan keluar dan masuk orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial