KOTA KINABALU, 10 Jun -- Sabah merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Kampung Lobou yang tercetus akibat upacara keagamaan di sebuah gereja di Kampung Lobou, Menggatal di sini dengan 15 kes direkodkan setakat ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata upacara keagamaan yang berlangsung pada 16 hingga 23 Mei lepas dipercayai menjadi epidemiologi atau medium penyebaran COVID-19 melibatkan kes indeks seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 35 tahun.
Kes indeks yang juga ahli gereja itu dikesan positif pada 29 Mei lepas dalam saringan bergejala di sebuah klinik di Bandar Sierra di sini sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk rawatan lanjut.
“Sebanyak 62 sampel telah diambil dan 15 sampel dikesan positif manakala 19 sampel negatif, manakala 28 sampel lagi sedang menunggu ujian saringan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Sementara itu, Masidi berkata Sabah hari ini merekodkan 233 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu sebanyak 65,021 kes, manakala pesakit sembuh yang telah dibenarkan pulang pula seramai 212 orang hari ini menjadikan jumlah kumulatif 62,072 orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial