LABUAN, 10 Jun -- Pemandu bas yang terjejas pendapatan susulan peningkatan sekatan berkaitan COVID-19 di pulau bebas cukai ini merayu kepada kerajaan agar mereka turut diberikan bantuan khas RM500 di bawah program PEMERKASA Plus seperti yang dinikmati pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing.
Pengerusi Persatuan Bas Labuan Asmadi Ahmad berkata sejumlah 155 pengusaha bas di pulau tersebut yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam sejak lebih dua dekad tidak menerima bantuan wang tunai sekali beri itu daripada kerajaan seperti yang dinikmati pengusaha pengangkutan awam lain.
“Kami tidak menerima Bantuan Khas APAD 1.0, Bantuan Permai 2.0 dan kini Pemerkasa 3.0 tetapi kami juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada orang awam selain pendapatan kami terjejas teruk susulan sekatan pergerakan bagi mengekang pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata surat rayuan berhubung perkara itu telah die-mel kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 14 Feb lepas namun belum mendapat maklum balas sehingga hari ini.
Menerusi program bantuan PEMERKASA Plus, kerajaan bersetuju memperuntuk RM68 juta sebagai bantuan tunai RM500 sekali beri seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei lepas.
Wee berkata bantuan tunai RM500 sekali beri kepada pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam dijangka memanfaatkan kira-kira 134,000 orang dan ia akan disalurkan kepada penerima bermula Julai ini.
Katanya mereka yang akan menerima bantuan tunai itu termasuk pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing, kereta sewa, bas sekolah dan bas persiaran.
Asmadi juga berharap Kementerian Pengangkutan akan mengiktiraf pemandu bas di Labuan yang memerlukan bantuan bersasar itu dengan kadar segera bagi membolehkan mereka mengharungi kehidupan ketika ini dan meneruskan perkhidmatan pengangkutan awam untuk pengguna di pulau tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial