AM

Anggota trafik sesak nafas dalam kebakaran di IPD SPU

10/06/2021 04:26 PM

KEPALA BATAS, 10 Jun -- Seorang anggota trafik mengalami sesak nafas dalam kebakaran di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Jalan Kedah, di sini hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, kejadian pada 4.30 pagi yang melibatkan dua bangunan bersebelahan itu berlaku ketika konstabel lelaki tersebut sedang berada di bilik persediaan anggota trafik di sebuah bangunan yang terjejas.

“Bangunan pertama membabitkan bilik persediaan yang terbakar 60 peratus manakala bangunan kedua yang dijadikan stor pula hanya terbakar 10 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata kebakaran dapat dikawal pada 4.56 pagi sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian dan konstabel terbabit dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata siasatan awal mempercayai kejadian disebabkan litar pintas.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan