KUALA LUMPUR, 9 Jun -- Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) akan melaksanakan moratorium fasa ketiga dan penjadualan semula pembayaran untuk pelanggannya yang layak untuk meringankan cabaran yang dihadapi akibat pelaksanaan Sekatan Perjalanan Penuh.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDV berkata langkah-langkah bantuan yang dilaksanakan itu seiring dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA Tambahan) baru-baru ini.
"Di bawah PEMERKASA Tambahan, kerajaan terus memberikan insentif yang akan mendorong pertumbuhan ekonomi digital negara dan memastikan kesinambungan serta kemampanan perniagaan untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana yang layak," kata Pengerusinya, Khairul Azwan Harun.
Insentif itu juga akan akan membolehkan mereka melaksanakan digitalisasi operasi mereka dengan melabur dalam teknologi yang relevan.
"Bagi pihak MDV, syarikat ini akan terus menyokong inisiatif oleh kerajaan dan pertumbuhan ekonomi digital pada masa depan selaras dengan arahan Menteri Kewangan.
"Sebagai pemodal teknologi, MDV secara proaktif memainkan peranan kami untuk menyokong pemulihan dalam sektor teknologi dengan terus melaksanakan langkah-langkah bantuan untuk pelanggan kami yang terjejas pada waktu yang mencabar ini," katanya.
Selain itu, syarikat itu telah mengambil langkah-langkah lain untuk menyokong perniagaan termasuk Pembiayaan Mudah Tunai untuk Kemudahan Syarikat Pemula (LIFTS) seiring dengan saranan kerajaan supaya sektor swasta terus memacu kegiatan ekonomi, katanya.
Setakat ini, MDV telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM67.42 juta di bawah program LIFTS dengan RM21.26 juta disalurkan kepada 26 syarikat dalam pelbagai sektor teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial