AM

KPT perlu ikut garis masa pencarian Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor

08/06/2021 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran agar lebih proaktif dan memulakan proses pencarian naib canselor dan timbalan naib canselor berdasarkan garis masa yang diperuntukkan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) Prof Datuk Dr Norzaini Azman berkata mengikut garis masa ditetapkan, pencarian perlu bermula sembilan bulan sebelum tempoh pelantikan naib canselor tamat manakala enam bulan sebelum bagi timbalan naib canselor.

"Dalam keadaan kedua-kedua jawatan itu terpaksa berundur atau tempoh lantikan dipendekkan, KPT boleh menggunakan senarai pendek lama yang telah ditemu duga dan memohon beberapa senarai baharu jika perlu menguruskan lantikan dalam keadaan segera tanpa menjejaskan integriti proses pemilihan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bagi mengulas laporan media berkaitan gesaan lantikan segera jawatan naib canselor di lima universiti awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Putra Malaysia yang kosong sejak awal tahun ini.

Norzaini turut berharap isu kekosongan dan pelantikan naib canselor itu dapat diselesaikan segera berdasarkan kepentingan peranannya dalam merencana pembangunan universiti, terutama dalam keadaan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan