BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Meskipun cukai merupakan satu daripada mekanisme yang digunakan untuk meningkatkan hasil kerajaan, penggalakan ekonomi filantrofi juga boleh melengkapkan dasar fiskal dan membantu negara untuk berkembang maju.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan perlu melihat dengan serius kepada institusi wakaf - instrumen pembiayaan Islam yang biasanya dikaitkan dengan pembangunan sosial dan objektif filantrofi.
“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi dari segi ekonomi filantrofi dan bagaimana ia boleh melengkapkan dasar fiskal; mungkin jurang belanjawan boleh dibantu menerusi ekonomi filantrofi,” katanya semasa sesi panel Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2021, hari ini.
Mohd Afzanizam berkata kerajaan juga memberikan insentif bagi wakaf di bawah Belanjawan 2021, yang mana pemotongan cukai ke atas sumbangan bagi kegiatan amal dan sukan serta projek-projek kepentingan nasional kini dihadkan pada 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi pembayaran cukai, sama dengan ambang yang diberikan kepada syarikat.
Pemotongan cukai juga diperluaskan kepada sumbangan wakaf tunai kepada pihak berkuasa agama negeri atau badan yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk mentadbir wakaf; sumbangan wakaf tunai kepada universiti awam yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri untuk menerima wakaf; dan sumbangan pembiayaan tunai kepada universiti awam.
“Agak mustahil bagi kerajaan untuk mengenakan cukai baharu dalam tempoh terdekat ini kerana keadaan semasa yang masih tidak menentu.
“Oleh itu, dasar fiskal perlu responsif dalam menangani keadaan tidak menentu, jadi saya menggalakkan idea wakaf tunai kerana pencukaian mempunyai hadnya sendiri,”katanya.
Mohd Afzanizam berkata amat mencabar untuk mengenakan cukai baharu dalam tempoh terdekat ini.
“Tetapi mungkin krisis ini membuka peluang baharu bagi setiap orang, dan bagi penggubal dasar untuk memikirkan semula kaedah terbaik bukan hanya dari segi meningkatkan hasil tetapi juga cara terbaik untuk mengagihkan semula kekayaan antara golongan kaya dan miskin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial