AM

IADA Seberang Perak ambil langkah proaktif kawal, cegah serangan ulat batang

06/06/2021 10:41 PM

IPOH, 6 Jun  -- Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak mengambil langkah proaktif bagi mengawal serta mencegah serangan ulat pengorek batang padi yang menyebabkan pesawah menanggung kerugian di Skim Pengairan Seberang Perak dan Sungai Manik, Teluk Intan pada musim ini.

IADA Seberang Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan kawalan ulat pengorek batang padi, atau ulat batang, secara bersepadu menggunakan dron pertanian syarikat swasta telah dilaksanakan di kawasan Sungai Manik, Seberang Perak dan Labu Kubong bagi mengawal serangan serangga perosak itu.

Kenyataan itu menyebut kawalan semburan racun kimia menggunakan dron pertanian itu melibatkan keluasan keseluruhan sebanyak 339 hektar menggunakan peruntukan IADA Seberang Perak bagi kos racun dan upah semburan menggunakan dron. 

“Dengan kawalan secara bersepadu, tahap kehadiran ibu rama-rama ulat pengorek batang dapat dikurangkan dengan signifikan di kawasan blok yang terlibat. 

“Pemantauan secara teliti telah dilakukan secara berterusan oleh pegawai IADA Seberang Perak dalam menangani masalah serangan ulat batang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bancian oleh Agen Pengembangan Tanaman (APT) IADA Seberang Perak sejak permulaan musim penanaman padi 1/2021 telah dilaksanakan bagi pengesanan awal kehadiran induk ulat pengorek batang.

“Kawalan secara bersepadu melibatkan pesawah di blok masing-masing telah dilaksanakan dengan melibatkan pemberian racun kimia untuk kawalan ulat batang.

“Program kawalan secara gotong-royong ini melibatkan kira-kira 600 hektar kawasan dan 420 pesawah telah mendapat manfaat daripada sesi kawalan kemerebakan ini,” katanya.

Kenyataan itu menyebut keseluruhan kawasan IADA Seberang Perak yang diserang ulat batang bagi kedua-dua skim yang melepasi kadar Tahap Ambang Ekonomi (ETL) dianggarkan seluas 3646.70 hektar daripada keseluruhan kawasan IADA Seberang Perak.

“Ini termasuk 1,463.70 hektar di Skim Seberang Perak dan 2,188 hektar di Skim Sungai Manik dari kawasan keseluruhan jelapang seluas 9,648 hektar melibatkan kira-kira 2,500 pesawah. 

“Dijangkakan serangan ulat batang yang serius mampu menyebabkan penurunan hasil tuaian padi sehingga 60 peratus sekiranya tiada kawalan dilakukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan