BERITA COVID–19   KWP sedia PKRCS percuma buat penduduk PPR, PA | Ibu Pejabat Lebuhraya PLUS jadi PPV | Pasukan Bertindak Khas GKV aktifkan CAC maya | Kluster tempat kerja catat jumlah kes COVID-19 tertinggi - Tengku Zafrul | Tambah baik PPN, isu kesusahan rakyat jadi tumpuan Dewan Rakyat | 
EKONOMI

NGO gesa Bumiputera menyimpan, melabur

06/06/2021 05:49 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Masyarakat Bumiputera perlu memupuk tabiat menyimpan dan melabur untuk melindungi diri mereka, terutamanya sekiranya berlaku kecemasan kewangan, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hasan Mad berkata menyimpan dan melabur adalah tabiat yang tidak popular dalam kalangan Bumiputera berikutan hanya sebilangan kecil isi rumah daripada masyarakat yang mengamalkan budaya tersebut.

“Dalam erti kata lain, majoriti Bumiputera mempunyai isu yang serius mengenai tabiat yang baik atau budaya yang baik.

“Susulan kurangnya tabiat atau budaya ini, sukar bagi generasi Bumiputera yang akan datang untuk memulakan perniagaan berikutan mereka tidak akan mempunyai modal awal mereka sendiri yang diperlukan untuk memulakan usaha,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya tabiat ini mempunyai impak langsung kepada usaha untuk menggalakkan generasi Bumiputera yang akan datang menjadi usahawan, berikutan mereka hanya dapat memulakan perniagaan dengan wang pinjaman atau geran kerajaan.

Pada masa ini, peruncit Bumiputera membentuk 0.3 peratus di Bursa Malaysia, kata Hasan, sambil menambah ini mencerminkan kurangnya minat untuk melabur walaupun untuk diri mereka sendiri, apatah lagi untuk generasi akan datang.

“Malah, pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera agak rendah, termasuk dalam kalangan segmen M40, jauh sekali pasaran saham.

“Ini hanya kerana walaupun dalam kalangan mereka mempunyai cara-cara untuk melabur, mereka tidak mempunyai tabiat atau keinginan untuk mengkaji prestasi harian pasaran saham,” katanya.

Jika mereka ingin melakukan pelaburan, terutamanya dalam pasaran saham, mereka perlu mempunyai minat untuk mempelajari cara-cara pasaran beroperasi, katanya.

“Ini adalah satu lagi bentuk isu budaya atau cabaran budaya yang dihadapi oleh Bumiputera.

“Kebanyakan mereka terperangkap dengan alasan, terutamanya dengan alasan simpanan yang agak kecil bagi setiap isi rumah, selain jumlah kaunter patuh Syariah yang terhad untuk mereka pilih,” katanya.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) yang dikeluarkan pada Oktober 2018, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada penyertaan Bumiputera dalam pelaburan strategik ke arah mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat.

Laporan itu menyatakan institusi yang berkaitan dengan Bumiputera, terutamanya syarikat milik negara (SOC), akan terus melabur dalam syarikat dengan pertumbuhan tinggi dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, serta menceburi dalam syarikat yang berpotensi sebagai pemegang saham minoriti.

Hasan berkata sejak wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), 30 peratus penguasaan ekuiti sentiasa menjadi sasaran sebagai sebahagian daripada tiga teras utama, selain daripada mewujudkan pekerjaan dan perniagaan, merapatkan jurang ekonomi dan membasmi kemiskinan.

DEB, yang bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua (1971–1975) hingga Rancangan Malaysia Kelima (1986–1990), mempunyai tiga matlamat utama, iaitu mencapai perpaduan negara, keharmonian dan integriti melalui penyusunan semula sosio-ekonomi masyarakat.

“Bagaimanapun, kita masih bergelut walaupun terdapat banyak usaha. Pada akhirnya, Program Penciptaan Ekuiti Bumiputera hanya hilang begitu saja,” katanya.

Mengenai langkah lain yang dapat dilakukan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan ekuiti korporat, beliau berkata kerajaan telah mewujudkan ratusan SOC dalam banyak kategori, termasuk agensi perusahaan awam dan agensi persekutuan yang mempunyai kepentingan Bumiputera, terutamanya Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Oleh itu, katanya, ini bukan isu yang tidak mempunyai idea tentang apa yang perlu dilakukan.

Hasan berkata ia mengenai sama ada terdapat mereka yang berkebolehan, kompeten dan berminat untuk memberikan kepimpinan yang baik dan/atau pengurusan yang baik kepada institusi yang mempunyai kepentingan Bumiputera, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat Islam milik negara.

Mengenai isu yang dihadapi oleh Serba Dinamik Holdings Bhd milik Bumiputera, katanya syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu perlu bertindak segera untuk membetulkan persepsi masyarakat berikutan pasaran modal terdedah kepada pendapat, persepsi dan spekulasi.

Beliau menegaskan respons yang lebih baik kepada kebimbangan yang menyelubungi Serba Dinamik, yang telah menjadi perhatian berikutan isu berkaitan audit berkanun, perlu dibangkitkan kerana ia akan membawa kepada penyelesaian yang lebih baik.

“Ia berlaku kepada Serba Dinamik semasa negara bukan berada dalam krisis kewangan, justeru, ia adalah insiden terpencil. Oleh itu, ia menarik perhatian orang ramai.

“Malang bagi Serba Dinamik, pelanggan institusi di kaunter terlalu cepat panik dan tiada agensi keselamatan ekuiti Bumiputera yang masuk untuk membeli dan menyimpan saham yang dijual,” katanya.

Hasan berkata jika terdapat pilihan, kerosakan dapat diatasi dengan ketara.

“Ingatlah bahawa Serba Dinamik adalah syarikat yang agak baharu dengan pengalaman kurang daripada lima tahun berbanding syarikat besar dalam pasaran modal.

“Lambat laun mereka perlu menghadapi cabaran pasaran,” katanya, sambil menambah, malang bagi Serba Dinamik, ia berlaku terlalu awal dan syarikat itu tidak menjangkanya.

“Saya percaya mereka mempunyai kekuatan untuk bangkit semula dan menjadi penggiat yang lebih baik dalam dunia pasaran sebenar,” katanya.

-- BERNAMA 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan