BEIJING, 6 Jun -- China terus mengamalkan keterbukaannya kepada negara luar selain memperkenalkan beberapa langkah dan dasar untuk mencetus lebih banyak peluang pembangunan, kata Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.
“Wabak COVID-19 telah memberikan tamparan hebat kepada ekonomi sejagat termasuk Asia-Pasifik, dan mencetuskan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap pembangunan ekonomi serta sosial China,” katanya pada sidang media sempena Sidang Menteri Perdagangan ke-27 APEC yang diadakan secara maya semalam.
Menyentuh mengenai akses pasaran yang diperluas, beliau berkata China bersungguh-sungguh mengkaji senarai negatif akses pelaburan asing, dan berjaya mengurangkan senarai itu.
Katanya, 33 fasal melibatkan seluruh negara, 30 fasal untuk zon rintis perdagangan bebas, dan 27 fasal mengenai pelabuhan perdagangan bebas.
Selain itu, China sedang melaksanakan strategi menaik taraf zon perdagangan bebas, komited untuk meningkatkan lagi tahap kebebasan dan kemudahan perdagangan dan pelaburan serantau, serta mendorong integrasi ekonomi serantau.
China merupakan negara pertama menyelesaikan proses pengesahan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan seterusnya secara aktif mempertimbangkan untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Langkah-langkah ini dilihat menyumbang kepada pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik pada masa depan.
Wang Wentao menyatakan China juga akan mempercepat pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu dan memperincikan pelaksanaan dasar pintu terbuka yang lebih luas untuk menyediakan lebih banyak peluang di peringkat serantau dan dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial