AM

Perubahan dalam jawatan tertinggi di MPOB, LGM

05/06/2021 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun  -- Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk terus mengelola lembaga itu.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkuat kuasa 15 April 2021 selepas perkhidmatan Datuk Ahmad Nazlan Idris ditamatkan pada 14 April 2021. 

Perubahan di MPOB itu berikutan kenyataan media Ahmad Nazlan yang menolak jawatan pelantikan sebagai Pengerusi MPOB menggantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang meletak jawatan. 

Sehubungan itu, Khairuddin berkata calon baharu bagi jawatan tersebut akan ditentukan semula oleh beliau.

Sebagai tokoh korporat, antara mandat utama yang diamanahkan oleh menteri kepada Raja Datuk Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lepas dan pelan strategik baharu LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM. 

Selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, beliau berharap pelantikannya bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan kepada semua pengurusan tertinggi KPPK serta agensi di bawahnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan