Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 3 Jun -- Harga yang didakwa tinggi dikenal pasti antara punca alat pemadam api tidak popular dalam kalangan masyarakat untuk diletakkan di rumah, menurut Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Melaka Zulkifli Nordin.
Beliau berkata meskipun statistik kebakaran melibatkan bangunan termasuk rumah kediaman sentiasa berada dalam kelompok tertinggi JBPM Malaysia dengan melibatkan kerugian melebihi RM85 juta pada 2018, ia masih di luar kesedaran masyarakat walaupun alat pemadam api adalah peralatan paling mudah dan praktikal dalam mengawal kebakaran.
Malah di Melaka, sebanyak 93 kebakaran melibatkan rumah dicatatkan antara 2019 dan 2020, dengan hasil siasatan mendapati kebanyakannya berpunca daripada api dapur dan diikuti pendawaian elektrik.
“Sebelum pandemik COVID-19, lebih 500 demonstrasi dan 200 pameran berkaitan kebakaran dan Alat Pemadam Api (APA) ini dilakukan sepanjang tahun namun masih ramai masyarakat tidak nampak kepentingannya.
“Rata-rata menganggap harga kit APA bermula sekitar RM100 dengan penyelengaraan yang sangat minimum itu terlalu tinggi namun tidak menyedari ia adalah satu pelaburan sangat berbaloi malah mampu menyelamatkan nyawa mereka jika berlaku kebakaran,” katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai kit APA, ia didatangkan dalam beberapa saiz silinder bermula daripada berat satu kilogram hingga sembilan kilogram dan boleh dibeli dari 24 syarikat bertauliah menjual dan menyelenggara APA.
“Paling tidak, pasanglah alat pengesan asap kerana ia mampu menyelamatkan nyawa dan harta, malah statistik membuktikan banyak kes kematian ketika kebakaran di rumah berlaku semasa penghuni sedang tidur dan tiada sebarang amaran untuk mengejutkan mereka,” katanya.
Selain mengadakan kempen dan demonstrasi, Zulkifli menjelaskan JBPM Melaka dalam perancangan membekalkan kit APA kepada 196,725 unit rumah di negeri ini menerusi Program 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1RAPI).
“Pelaksanaan perkara ini masih dalam pertimbangan kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Antara perincian yang masih dibincangkan adalah mekanisme pengedaran ke 196,725 unit rumah yang direkodkan pada 2019, melibatkan rumah jenis sesebuah, teres, town house, kluster, flat dan kondominium,” katanya.
Beliau berkata sekiranya ia dilaksanakan, pemberian APA tersebut akan membabitkan 134,822 unit rumah di Melaka Tengah, Alor Gajah (37,616) dan Jasin sebanyak 24,287 unit rumah.
Beliau juga menasihati orang ramai agar menggunakan perkakasan elektrik mempunyai kelulusan SIRIM dan mengamalkan kaedah penyimpanan barangan elektrik yang menghasilkan kepanasan seperti seterika dengan selamat.
“Jangan sesekali membuat pendawaian elektrik sendiri atau menggunakan bahan-bahan elektrik tiruan dan tidak mempunyai sijil kelulusan terutama kabel dan pengecas telefon kerana mudah berlaku 'kebocoran' elektrik yang akan menyebabkan litar pintas, renjatan dan kebakaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial