EKONOMI

Bantuan PEMERKASA Tambahan bantu pengusaha bas hadapi cabaran

01/06/2021 04:40 PM

GEORGE TOWN, 1 Jun  -- Pengusaha bas persiaran, ekspres, sekolah dan teksi kini mampu menarik nafas lega setelah skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi bernilai RM1 bilion telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pengusaha dan Pemandu Bas Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latif berkata skim yang diumumkan di bawah Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan itu mampu meringankan beban pengusaha bas yang kini terperangkap dalam masalah kewangan yang teruk.

“Saya mewakili persatuan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan skim ini yang bakal memberi 50 peratus jaminan terhadap pinjaman sedia ada. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, pendapatan pengusaha dan pemandu bas terjejas teruk dan tidak mampu untuk membayar hutang.

"Kami sedang menunggu pelancaran skim ini yang dikatakan bakal dilaksanakan pada minggu ini. Dalam pada itu, saya secara peribadi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah yang telah banyak membantu pihak pengusaha bas sejak PKP 1.0 dan berjaya menaikkan isu ini di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ahmad Ruslan berkata masih terdapat lebih kurang 30 ahli pertubuhannya yang tidak mendapat bantuan tunai secara sekali beri setiap kali PKP diumumkan.

“Pemandu bas tidak mendapat bantuan dengan alasan majikan mereka tidak membayar caruman Perkeso. Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan hal ini supaya semua pemandu bas akan mendapat bantuan kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sudah berkali-kali menghubungi dan menghantar e-mel kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan namun masih tiada maklum balas.

Beliau berkata seharusnya golongan pemandu bas ini perlu diberikan perhatian sama seperti golongan rakyat yang lain kerana telah membantu ekonomi negara.

Semalam, kerajaan melalui PEMERKASA Tambahan telah bersetuju memberi bantuan skim rehabilitasi yang merupakan sebuah moratorium pinjaman selama 12 bulan, malah para pengusaha yang layak boleh melanjutkan tempoh pinjaman selama 36 bulan.

Selain itu, bantuan tunai khas secara sekali beri sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan