DUNIA

COVID-19: Qatar buka sempadan kepada rakyat negara Teluk sudah lengkap divaksin 

01/06/2021 12:10 PM

MOSCOW, 1 Jun -- Qatar membuka pintu sempadannya kepada warga Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19, lapor Sputnik.

"Qatar menutup sempadannya kepada pelancong asing pada Mac 2020. Tetapi pada bulan ini akan buka semula sempadan kepada pengunjung dari wilayah Majlis Kerjasama Teluk yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin," kata ketua Majlis Pelancongan Qatar (QNTC) Berthold Trenkel.

Beliau berkata pasukan petugas khas sedang mempertimbangkan "pelbagai faktor" yang memungkinkan pembukaan semula sempadan Qatar kepada lebih banyak lagi negara. 

Mengulas mengenai pelancong Rusia, beliau berkata prasyarat ditetapkan ialah pelawat dari negara itu perlu mempunyai sijil perakuan vaksinasi dan status COVID-19 yang diakui di peringkat global.

"Dengan pelancaran IATA Travel Pass di seluruh dunia dan vaksin Sputnik V tersenarai dalam senarai vaksin diluluskan WHO, kami harap dapat menyambut kedatangan pelancong Rusia ke Qatar," katanya.

Menurut Trenkel, Qatar telah melaksanakan pelbagai lagkah keselamatan untuk memastikan pelancong dan penduduk dilindungi daripada COVID-19.

Setahun lalu, kementerian kesihatan melancarkan program Qatar Clean, menyaksikan hotel dan restoran diperiksa secara berkala untuk memastikan standard kebersihan berada pada tahap yang terbaik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan