AM

Kebenaran operasi, pergerakan untuk industri komunikasi dan multimedia melalui MCMC

31/05/2021 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Pemegang lesen sektor perkhidmatan perlu bagi industri komunikasi dan multimedia mesti memohon surat kebenaran beroperasi dan pergerakan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh dari 1 hingga 14 Jun daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Permohonan hanya boleh dibuat oleh pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan Akta Tandatangan Digital 1997 bagi pihak syarikat dan syarikat-syarikat vendor menerusi emel, mco.compliance@mcmc.gov.my.

MCMC menerusi kenyataan hari ini berkata pihaknya telah diberi kuasa oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada perkhidmatan perlu di bawah seliaan kementerian iaitu sektor telekomunikasi dan internet, penyiaran serta pos dan kurier.

Menurutnya kebenaran bersyarat itu adalah tertakluk kepada sebarang pindaan dan peraturan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan, dan akan terbatal sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu senarai aktiviti dan rantaian perkhidmatan yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk perkhidmatan telekomunikasi dan internet ialah wakil sah atau dealer; gudang penyimpanan; vendor penghantaran, peralatan atau sistem telekomunikasi, penyelengaraan, pembaikan, keperluan sokongan, khidmat pelanggan dan keperluan sokongan.  

Bagi perkhidmatan pos dan kurier yang dibenarkan ialah wakil sah atau dealer; gudang atau hub penyimpanan; vendor penghantaran, pembaikan, keperluan sokongan dan khidmat pelanggan.

Rantaian perkhidmatan dibenarkan untuk perkhidmatan penyiaran ialah wakil sah atau dealer; vendor pemasangan peralatan dan keperluan sokongan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan