EKONOMI

MSWG GESA PEMEGANG SAHAM SERBA DINAMIK UNDI TOLAK RESOLUSI KELUARKAN JURUAUDIT

29/05/2021 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei  -- Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada Sabtu menggesa semua pemegang saham minoriti Serba Dinamik Holdings Bhd supaya mengundi menolah resolusi yang mahu mengeluarkan KPMG PLT daripada menjadi juruaudit syarikat.

Ia menjelaskan sebagai sebahagian tadbir urus yang baik, KPMG sewajarnya dibenarkan menyelesaikan tugasnya dan melaporkan kepada para pemegang saham Serba Dinamik semasa mesyuarat agung tahunannya akan datang.

“Memandangkan syarikat itu mewujudkan tinjauan bebas khas dengan melantik firma bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit luar, maka juruaudit luar perlu kekal untuk mempertahankan hasil dapatan mereka dan menjelaskannya sendiri.

“Tiada kesegeraan untuk mengeluarkan juruaudit itu pada masa ini,” jelasnya menerusi kenyataan.

Pada Jumaat, Serba Dinamik mengumumkan ia telah menerima notis daripada Datuk Abdul Kadier Sahib, pengarah bukan bebas dan pemegang saham bagi 15.96 peratus daripada modal saham terbitan keseluruhan syarikat, yang mencadangkan mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan untuk melantik BDO PLT sebagai juruaudit bagi menggantikan KPMG PLT.

KPMG sebelum itu telah membangkitkan isu berkaitan pembekal tertentu yang dilantik oleh Serba Dinamik, syarikat utama bagi Program Pembangunan Vendor Petronas.

Dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia, Serba Dinamik menjelaskan ia akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menguruskan dan mengendalikan perkara berkaitan tinjauan bebas khas tersebut, yang akan melaporkan kepada lembaga pengarahnya.

Jawatankuasa itu akan terdiri terutama pengarah bukan eksekutif, penasihat undang-undang, juruaudit dalaman, setiausaha syarikat dan wakil pihak pengurusan, menurutnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan