SUKAN

Bekas penyerang Angthong FC Zafuan Azeman sertai KUFC

25/05/2021 01:19 PM

KOTA BHARU, 25 Mei -- Kelantan United (KUFC) membawa masuk bekas penyerang skuad bawah 19 tahun negara Zafuan Azeman pada pintu perpindahan pemain bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.

Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd Anas Karimi Ahmad Thani berkata kehadiran pemain muda yang pernah beraksi bersama pasukan Angthong FC dalam Divisyen 3 Thailand pada musim 2020 itu, akan memperkuatkan jentera serangan KUFC yang kini dikendalikan ketua jurulatih Akira Higashiyama.

"Posisi penyerang amat diperlukan pasukan ketika ini berikutan kekurangan pemain selain hanya bergantung kepada seorang pemain import iaitu Gassama Alfussainey dan pemain tempatan Fakhrul Zaman.

"Kehadiran Zafuan akan menambah kekuatan pasukan dalam usaha mencapai sasaran untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain Angthong FC, Zafuan yang berusia 21 tahun itu juga pernah beraksi dalam saingan Liga Super bersama pasukan Penang FC dan Kedah.

Anas Karimi berkata pihaknya mengharapkan Zafuan menggunakan pengalaman bermain di peringkat remaja sehinggalah ke Thailand untuk membantu pasukan itu mencapai kejayaan pada baki saingan Liga Premier.

"Kami yakin Zafuan akan memberikan kekuatan tambahan seterusnya dapat berganding dengan pemain sedia ada untuk menggempur kubu pasukan lawan," katanya.

Sementara itu, Zafuan berkata beliau mengambil keputusan menyertai KUFC bagi meneruskan kariernya bersama pasukan yang digelar 'Sang Kijang Hijau' itu, kerana KUFC memberi peluang kepadanya sebagai pemain tempatan untuk membuktikan keupayaan.

"Saya lihat pasukan Liga Malaysia, kebanyakan meletakkan pemain import di posisi serangan, ia agak sukar untuk menembusi posisi itu termasuklah saya sendiri.

"Saya pernah bersama Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, saya akui ketika bersama mereka amat sukar untuk bermain kerana dominasi penyerang import," katanya.

Menurut Zafuan, beliau sangat berhati-hati memilih pasukan pada jendela perpindahan kali ini bagi meneruskan kariernya.

"Pengurusan KUFC hadir menawarkan tempat dan menceritakan projek mereka, saya yakin peluang untuk turun beraksi terbuka luas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan