Oleh Kamaliza Kamaruddin & Nurul Nabila Hasnor Zubaidy
KUALA BERANG, 18 Mei -- Perbezaan dialek yang dituturkan penduduk di setiap negeri dan daerah adalah antara keunikan budaya warisan di negara ini.
Namun, kewujudan lebih 30 dialek berbeza di Daerah Hulu Terengganu menjadi sangat unik, malah ia jarang-jarang berlaku.
Hayati Ahmad, 46, seorang guru yang terlibat dalam usaha mempertahankan dialek Hulu Terengganu, berkata kebanyakan kampung di Hulu Terengganu mempunyai dialek yang berbeza walaupun jaraknya berdekatan antara satu sama lain dan ada antaranya tidak sampai pun satu kilometer.
"Keunikan dialek ini terletak pada kepelbagaian cara sebutan dan perkataan yang digunakan setiap kampung di daerah ini. Malah, beza perkataan yang dituturkan adalah sangat banyak dan tidak terkira. Di sesetengah kampung, sebutannya lebih lembut, ada juga yang kasar malah ada yang lebih meleret.
"Contohnya perkataan ulu. Kalau orang Kuala Berang, mereka sebut 'ulu', kalau di Kampung Tengkawang kami sebut 'ulou'. Kampung Nibong pula 'uluk' dan di Kampung Baung sebutannya 'olou' yang agak lembut daripada yang lain. Cara sebutan ini terpakai untuk semua perkataan yang berakhir dengan huruf u," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Hayati yang merupakan guru Bahasa Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang di sini juga mengakui tidak ramai penduduk Daerah Hulu Terengganu yang boleh membezakan cara sebutan di setiap kampung itu.
"Penduduk kampung A ada kalanya tidak faham sebutan penduduk kampung B. Situasi ini berlaku kerana ada kalanya terdapat perbezaan perkataan yang sangat ketara untuk merujuk benda yang sama.
"Contohnya, serangga pepatung di Kampung Tengkawang kami sebut 'ca’i' sedangkan di Kampung Pauh sebutannya 'klica' manakala di kampung lain pula ada memanggil pepatung sebagai 'ssibu' dan 'ciibi'. Ini sangat menyukarkan terutama generasi muda untuk memahaminya," katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata faktor perbezaan penggunaan dialek di setiap kampung mungkin terletak pada perhubungan orang zaman dahulu yang banyak bergaul sesama mereka sahaja menyebabkan golongan itu tidak terdedah kepada asimilasi bahasa walaupun mereka tinggal di daerah yang sama.
Hayati berkata generasi muda di Hulu Terengganu kebanyakannya masih boleh memahami pertuturan dalam dialek itu namun hanya segelintir sahaja yang boleh berkomunikasi dua hala dalam dialek tersebut dengan fasih dan lancar.
Menyedari dialek unik ini diancam kepupusan, beliau yang mesra dikenali sebagai Cikgu Yati telah mengambil beberapa inisiatif untuk mempertahankannya dengan cara memperkenalkannya kepada masyarakat umum.
"Saya memang selalu buat persembahan sajak atau pantun dalam dialek Hulu Terengganu di sekolah. Namun, ada satu video persembahan saya tular di media sosial menyebabkan makin ramai tertarik dengan keunikan dialek ini.
"Sejak 2016, saya telah banyak dijemput untuk membuat persembahan seperti di ekspo-ekspo yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu serta sebagai tetamu undangan di Radio Terengganu sejak 2019 melalui segmen, Guana Gamok Orang Kiter," katanya.
Beliau juga terlibat dalam membantu mengusahakan Glosari Dialek Hulu Terengganu, satu projek mendokumentasikan dialek itu, hasil usaha sebuah jawatankuasa yang dibentuk di bawah naungan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
"Harapan saya agar generasi muda teruskanlah mencintai dialek warisan nenek moyang kita ini dan mesti berbangga dengannya kerana itu adalah identiti kita yang perlu dipertahankan agar tidak hilang ditelan arus kemodenan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial