AM

Pokok rendang berbahaya kepada orang awam ditebang secara berperingkat - DBKL

17/05/2021 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja-kerja penebangan 25 pokok rendang di beberapa lokasi sekitar ibu kota yang dalam keadaan berbahaya kepada orang awam secara berperingkat selama sebulan mulai Jun ini.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak yang berkelayakan, Persatuan Arborist Malaysia terhadap pokok yang berisiko itu, merangkumi pemantauan secara visual dan pemeriksaan dalam batang pokok menggunakan peralatan khusus iaitu Resistograph. 

Antara lokasi yang terlibat ialah di Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Razak dengan pokok yang ditebang daripada spesis seperti Samanea saman (hujan-hujan), Ficus benjamina (Ara) dan Peltophorum pterocarpum (Jemerlang).

Menurut DBKL perancangan penanaman semula pokok di pusat bandar Kuala Lumpur dibuat berdasarkan Garis Panduan Pelan Pengurusan Pokok Rendang Kuala Lumpur yang telah diterbitkan pada Januari 2019.

“Pokok-pokok yang ditebang ini akan digantikan dengan pokok lain bergantung kepada keluasan ruang penanaman. Jika keluasan ruang penanaman tidak sesuai untuk ditanam pokok, ia akan digantikan dengan tumbuhan renek,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, DBKL mengharapkan kerjasama daripada semua pihak memandangkan lokasi pokok yang ditebang berada di kawasan tumpuan awam bagi memastikan keselamatan terjamin. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan