AM

Laporan kawasan Chemor terdapat kes COVID-19 varian Afrika Selatan palsu

16/05/2021 10:27 PM

IPOH, 16 Mei -- Jabatan Kesihatan Negeri Perak menafikan mesej tular di media sosial yang menyenaraikan nama kampung dan taman perumahan dalam Mukim Ulu Kinta di kawasan Chemor didakwa terdapat kes jangkitan COVID-19 varian Afrika Selatan (B.1.351).

Perkara itu disahkan pengarahnya Datuk Dr Ding Lay Ming ketika ditanya mengenai kesahihan mesej tersebut hari ini.

"Berita palsu," katanya ringkas ketika dihubungi tanpa mendedahkan maklumat lanjut.

Mesej tular itu disebarkan dalam bentuk laporan kononnya disediakan Penghulu Mukim Ulu Kinta Kawasan Chemor bertarikh 15 Mei dan disebar menerusi media sosial terutamanya aplikasi Whatsapp.

Antara kampung dan taman perumahan disenaraikan menerusi mesej itu ialah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tawas Tambahan, Taman Chemor Ria, Taman Mas Baru, Desa Chemor Impian dan Taman Klebang Jaya.

Sebanyak 115 jumlah kes baharu dilaporkan di Perak hari ini, melibatkan 109 kes adalah jangkitan tempatan manakala enam kes dari luar negeri berkenaan.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilapor berkata pihaknya mengesan sejumlah 30 lagi varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia melibatkan 27 kes varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes varian United Kingdom (B.117).

Katanya kesemua kes dikesan menerusi 59 penjujukan seluruh genom yang dijalankan dari 24 April hingga 1 Mei oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) termasuk laporan pertama mengenai VOC Afrika Selatan di Perak dan Kelantan yang membabitkan beberapa kluster penting dengan 10 kes setiap negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan